Wednesday, June 12, 2013

cerita curang

Mood rajin datang menjenguk buat seketika.

Aku tertarik dengan satu artikel di Wanista yang aku baca minggu lepas. Sebenarnya nak blog pasal artikel tu, tapi mood rajin pergi jalan-jalan. Artikel boleh baca di sini. Pergi baca. Artikel ni berkisarkan tentang seorang lelaki yang menceritakan kecurangan isterinya dalam sebuah blog. Haa... gitu.

Dah baca? Menarik tak? Bagi aku, menarik sangat. Dan oleh kerana itu, aku dengan gigihnya pergi google blog tersebut. Dan aku jumpa! Takdelah gigih mana pun sebenarnya. Taip je 'my cheating wife', tekan search, jumpalah aku akan blog tersebut. Lalu aku pun membaca setiap entry yang lelaki tu taip. Setiap satu entry. Setiap satu perkataan. Aku baca. Itu baru namanya gigih. Kalaulah bekerja atau belajar dulu pun gigih macam ni...



Tapi lelaki ni lagi gigih. Pasang software untuk spy handphone isteri dia. Siap printscreen perbualan SMS antara isteri dia dengan boyfriend isteri dia. SMS diorang... phewww. Silalah pergi sendiri ke blog tersebut untuk baca pertukaran SMS antara dua kekasih tersebut. Kalau aku bubuh semua kat sini, nanti blog aku kena censored. Gahahaha! Tak pasal-pasal blog ni kena rate 18SX. Awww... tak rela ai. Ni bukan blog nyah-nyah tayang lurah tetek ye.

Tapi...
Secara seriusnya, aku rasa sedih, marah dan kecewa bagi pihak lelaki tu. Dahlah isteri curang, anak yang selama ni dia ingat anak dia rupa-rupanya adalah anak kepada boyfriend isteri dia. Pedih betul. Tersayat hati, lebih-lebih lagi bila masuk bab anak. Tergamaknya seorang perempuan mempermainkan suami dia sampai macam tu sekali. Sebagai seorang perempuan, aku rasa malu dengan perbuatan isteri itu. Apa sebab pun tak mampu nak justifikasikan perbuatan dia sebagai seorang isteri dan seorang ibu.

Dan boyfriend itu pula ialah seorang suami. Ya, curangnya itu seorang perempuan dan seorang lelaki. Tak boleh nak tuding jari kata perempuan je jahat, atau lelaki je jahat. Dua-dua sama jahat. Orang yang curang dengan pasangan masing-masing ialah orang yang jahat. Jahat sejahat-jahatnya, bagi aku. Sebab apa? Sebab orang yang curang ni menyakiti hati orang lain, mengkhianati kepercayaan orang lain. Kalau kau bunuh orang, orang tu mati, keluarga dia mungkin boleh meneruskan kehidupan. Tapi bila kau mengkhianati pasangan hidup sendiri yang percayakan kau, luka tu akan berbekas sampai mati.

Aku tak faham kadang-kadang dengan orang yang curang ni. Kau dah kahwin dengan pasangan pilihan kau, kenapa kau masih ada hati nak tergedik-gedik dengan orang lain lagi? Tak cukup kasih sayang? Tak cukup nafkah zahir batin? Atau kau ni sememangnya manusia yang tak pernah akan puas? Sebanyak mana kasih sayang, sebanyak mana ciuman peluk kasih nak diberikan supaya kau puas? Orang tamak ni, orang tua kata, selalu akan rugi.

Bertukar-tukar ayat cinta asmaradana di Facebook, di SMS, di WhatsApp/WeChat/Skype, bukan main lagi. Kalau ada masa untuk mabuk kepayang bercurangan dengan orang lain, kenapa tak bercinta dengan yang sememangnya dah halal bagi kau? Kenapa? Sebab ada thrill? Sebab untuk suka-suka? Sebab bosan? Sebab gatal? Sebab apa sebenarnya? Musykil betul aku. Kalau ada yang kurang pada pasangan sendiri, bawalah berbincang bantal ke bantal. Kau dah pilih dia untuk hidup dengan kau, dan dia dah pilih kau untuk hidup dengan dia, kenapa perlu nak mencari juga keseronokan di luar?

Jangan. Pesan aku, jangan sakiti hati pasangan kau. Jangan khianati kepercayaan dia. Dalam sesebuah perhubungan, bila kepercayaan tu dah kau cemarkan, susah nak patah balik. Susah dah orang yang kau tipu tu nak percaya pada kau, tak kira macam mana cinta atau sayangnya dia pada kau. Syak wasangka, curiga akan timbul. Benda ni sebenarnya yang membawa kepada pertengkaran, membawa kepada perceraian. Itu pendapat jujur aku. Aku pun, sekali dah dikhianati kepercayaan aku, susah aku nak percaya pada orang tu dah. Sakit. Sakit sangat bila dikhianati.

Setengah orang, ranggi dan yakin. Yakin yang dia dok main-main belakang pasangan dia, pasangan dia takkan tahu. Kawan, jangan lupa, Allah itu Maha Kuasa. Allah itu Maha Mengetahui. Dan Allah itu juga Maha Mengasihi kepada hamba-Nya yang teraniaya. Tak hari ni, esok atau lusa, pasti aktiviti masa lapang kau tu akan terbongkar juga. Tak payah dia nak spy handphone kau ke apa, Allah akan tunjuk juga satu ketika nanti. Masa tu, memang lantak kat kaulah kalau dia sumpah kau jadi peti ais pun.

Cuba nanti, bila kau sedang enak berbicara cinta penuh berahi dengan orang yang bukan pasangan kau, kau terbalikkan situasi. Kau bayangkan yang kau ni pasangan kau yang setia tu, dan pasangan kau tu yang dok sibuk SMS berahi dengan orang ketiga? Amacam? Bayangkan. Dan cuba rasa. Sakit tak hati? Sedih? Marah? Kecewa? Kalau kau tak rasa, memang kau tak serik, kan? Heh.

Jangan mulut sahaja bicara cinta dan sayang. Biar perbuatan itu seiring dengan apa yang diucapkan. Ingat, setiap perbuatan itu ada balasannya. Kau lelaki ke, kau perempuan ke, bilamana kau curang, kau jahat. Kalau nantinya, pasangan kau yang bicara "I miss you" kepada orang lain, kau jangan melatah. Itu namanya, padan muka.


No comments:

Post a Comment

Words could heal... or it could hurt or maybe, it won't bring any difference. Either way, just type away!