Friday, April 29, 2011

review lagi: pecah

Aku ingat aku nak mulakan review ini dengan mukadimah yang panjang (dan bosan) tentang novel Melayu dan aku. Tapi ini bukan masanya. Aku sendiri bosan dengan mukadimah yang aku taipkan tadi. Aku tekan kunci backspace dan mula semula. Aku nak buat review, bukan nak membebel. Tapi selalunya konon-konon nak buat review yang pendek, ringkas dan padat. Tipu. Konon-konon. Mesti jadi panjang berjela juga nanti.


Siapa Khairulnizam Bakeri? Aku tak kenal. Aku tak pernah lagi bersua dengan nama ni dalam dunia penulisan di Malaysia. Dia ada blog, aku tak pernah baca. Dia ada Twitter, aku baru kenal. Aku kenal Khairulnizam Bakeri melalui kicauan mamat rempit berhelmet biru di Twitter. Dan aku juga hanya tahu mengenai novel Pecah melalui kicauan teman-teman di Twitter. Bagus Twitter ni, kan?

Pecah berkisar tentang jenayah terancang yang sempurna. Pecah berkisar tentang rahsia dan misteri di sebalik jenayah terancang yang sempurna. Sekumpulan lelaki yang dikepalai Herman merompak sebuah bank di Shah Alam. Alan, salah seorang perompak, cedera ditembak pengurus bank. Sudahnya, dia terperangkap di hospital. Hospital yang sama juga menempatkan Bakar, seorang penghuni rumah orang tua yang punya latar belakang hitam.

Selain wang ringgit, sebuah peti simpanan turut dirompak. Inspektor Paul yang menyiasat kes rompakan dihimpit bingung dengan rahsia peti simpanan itu. Peti simpanan itu pula berada di bawah nama Bakar, orang tua yang terbaring koma di hospital. Dan kemudian Alan dapat menghilangkan diri dari pemerhatian polis, dari radar Inspektor Paul. Jalan untuk menyelesaikan kes rompakan tersekat.

Watak-watak di dalam Pecah adalah saling berkait sesama mereka. Mereka ada kisah di sebalik hubungan yang terjalin. Kisah watak-watak novel Pecah dipersembahkan dalam bentuk flashback yang membawa pembaca mengenali setiap karakter dengan lebih dekat. Apa motif bank dirompak? Apa motif hanya sebuah peti simpanan dilarikan? Hanya sehingga helaian muka surat terakhir baru semua jawapan terungkai.

Tak salah kalau aku kategorikan Pecah dalam genre aksi atau thriller. Jadilah aku macam Inspektor Paul, mencari logik di sebalik rompakan yang terjadi. Baca dari muka surat pertama sampai muka surat terakhir. Aku baca dua kali muka surat terakhir sahaja. Serius. Sebab aku terkejut dengan ending Pecah. Nak hadam pengakhirannya ambil sedikit masa.

Kisah dalam novel Pecah bukan kisah yang boleh kita lihat hari-hari, bukan kisah biasa. Tapi itulah keistimewaan Pecah. Pecah bukan novel klise. Dan aku suka Pecah. Suka sangat-sangat. Sebab ada aksi, ada misteri, ada adegan flashback yang realistik, ada perkataan-perkataan yang mengharuskan aku buka Kamus Dewan, ada pembalasan dendam, ada adegan ranjang (yang selalunya tak berani ditonjolkan orang lain), ada rahsia. Yang tak ada, kisah cinta meleleh. Tak rasa kekurangan pun.

Ehem. Satu lagi novel yang berautograf. And yes, Encik Nizam, I enjoy Pecah. Very much.

Terima kasih buat saudara Nizam untuk sebuah novel yang aku kira agak hebat ini. Bahasanya cantik tersusun, karakternya realistik tanpa perlu nama yang tergeliat lidah nak menyebut dan yang paling istimewa, perbualan karakter Stephen dan Zhu En dalam bahasa Kantonis (lengkap dengan translasi). Banyak sebenarnya keistimewaan Pecah. Nak tahu, kena baca sendiri.


4 comments:

  1. okay. jeles sejenak kerana anda berpeluang bertemu penulisnya. hahaha...

    http://lelakitanpaemosi.blogspot.com/2011/05/050-siri-ulasan-buku-01-pecah-karya.html

    ReplyDelete
  2. Shandye: Peluang yang jarang datang, dipergunakan dengan sebaiknya di KLIBF'11. Review "Pecah" yang mampat you have there.

    ReplyDelete
  3. okeyh... Im so gonna get this book today... kah kah kah...

    ReplyDelete

Words could heal... or it could hurt or maybe, it won't bring any difference. Either way, just type away!