Showing posts with label BM. Show all posts
Showing posts with label BM. Show all posts

Friday, March 01, 2013

hadiah kahwin

Walaupun cuti sekolah masih lambat lagi, tak salah kalau aku katakan yang musim kenduri dah pun bermula. Aku rasalah kan, musim kenduri start awal tahun ni sebab orang takut kena tarikh pilihanraya. Aku rasalah macam tu. Tapi sudahnya, sampai sekarang Pak Jib dok main teka teki teka tekuk. Aku dengan Hubster je tiga minggu berturut-turut ada kenduri kahwin yang kami kena pi. Makan free, rejeki tu. Hujung minggu ni, majlis sambut menantu sepupu aku yang menikah bulan November tahun lepas. Haruslah semua saudara-mara berkumpul dan bikin kecoh kan.

Cakap pasal kenduri kahwin ni kan, aku sebenarnya nak bukak topik hadiah kahwin. Dulu, sebelum aku kahwin, memang aku tak kisah sangat pasal benda ni. Tapi bila aku sendiri dah kahwin, aku pikir jugakla untuk pengantin baru ni. Kebanyakan orang yang baru kahwin ni, diorang tinggal rumah sendiri. Dan bila tinggal rumah sendiri, barang keperluan tu memang wajib ada. Macam kau masuk rumah baru la, senang cerita.


Sumber: Google Image


Barang keperluan yang macam mana?

Pinggan mangkuk, set minuman, kutleri, peralatan elektrik macam periuk nasi, blender, seterika dan cerek air, tupperware, set cadar dan macam-macam benda lagi yang korang boleh pikir sendiri, yang perlu bila masuk rumah baru yang takde apa. Orang baru kahwin yang bajet banyak dah habis ke majlis macam aku ni sebenarnya rasa bersyukur sangat dapat hadiah-hadiah macam ni. Secara tak langsung, korang dah membantu pasangan-pasangan yang baru nak membina kehidupan baru ni sebenarnya. Ecewah!

Aku rasa bertuah dan teramat bersyukur sebab kebanyakan barang-barang keperluan kami tak perlu beli pun. Dapur gas pun orang yang hadiahkan. Alhamdulillah. Mungkin kadang-kadang, kita nampak benda tu macam kecik, tapi besar faedahnya kepada orang lain, siapa yang tahu kan? Walaupun orang kata it's the thought that counts, apa salahnya kita bagi sesuatu yang memang akan buat orang ingat kita sampai bila-bila pun, selagi hadiah pemberian tu digunakan?

Macam aku, bila aku nak masak, aku guna blender, aku ingat kat tukang bagi, "Ni Suria bagi ni, alhamdulillah senang nak buat kerja." Secara tak langsungnya, kita tahu kita dah berjasa pada orang lain. Pahala tu weh. Serius. Bukan susah pun, ye dak? Itupun dah layak masuk it's the thought that counts. Maksudnya, kau ada fikirkan untuk kesenangan hidup kawan atau saudara kau tu.

Kedai-kedai sekarang pun dah banyak jual barang-barang yang sesuai untuk dijadikan hadiah kahwin ni. Harga pun berpatutan. Kat Jusco berlambak kot. Nak standard sikit, boleh pi IKEA. Set kutleri yang comel pun baru harga RM 59.00. Aku taula, aku baru check tadi. Giant pun ada. Pendek katanya, kat kebanyakan supermarket memang ada. Kau boleh dapat set minuman yang cantik yang ada jag dengan enam biji gelas dengan harga tak sampai RM 50 kat Jusco. Betul ni.

Kalau nak lagi gempak dan lain daripada yang lain, korang boleh bagi ni:

[Sumber]
Hah. Lesung batu! Apa, ingat aku main-main ka? Hahahaha! Lantak korang nak bungkus macam mana hadiah ni. Hahaha! Boleh buat sambal belacan ni woi! Gelak pulak dia.






Tapi kalau orang tu kahwin pastu tinggal dengan family sendiri yang dah lengkap semua, hadiah apa yang paling afdhal nak diberi? Cer kome kabor sikit ke teman.

Friday, December 02, 2011

awak sayang saya tak?

"Awak..."
"Hmm?"
"Awak sayang saya tak?"
"Sayang."
"Yeke?"
"Yela."
"Tu aje?"
"Maksud awak?"
"Yela... awak sayang saya banyak mana?"
"Banyak sangat."
"Hmm..."
"Tak puas hati la tu."
"Takdelah..."
"Yelah tu."
"Malas lah nak cakap dengan awak ni. Bye!"

Aku kira, dialog macam di atas sering terjadi antara sepasang kekasih. Aku rasalah. Aku tak banyak pengalaman tapi aku rasa aku pernah bertanyakan soalan macam di atas satu ketika dulu. Saja nak dengar jawapan dari pakwe masa tu. Perempuan suka sebenarnya dengan ayat-ayat cinta/romantis macam tu. Eh, yeke? Yelah kot. Aku kan perempuan, aku tau lah. Berbunga rasanya hati kalau sang kekasih cakap "Saya sayang awak" atau "I love you", tak gitu? Haruslah!



Dengan Encik Tunang, aku tak ingat aku pernah tanya tak soalan-soalan macam tu. Serius aku tak ingat. Pernah ke tanya? Tapi jujur cakap, aku tak terasa nak tanya. Ada perkara, kita tak perlu tanya. Dari gerak gaya, dari nada, dari perbuatan, kita boleh tau samada seseorang itu sayangkan kita atau tak. Lagi pun, lepas berapa kali bercouple, aku rasa soalan "Awak sayang saya tak?" ni dah semakin tak relevan. Kenapa? Sebab bagi aku, bila kita perlu tanya soalan macam tu, semacam kita rasa insecure dengan perhubungan yang sedia ada. Itu pada pandangan akulah.

Sebenarnya, pada pandangan aku, kata-kata sayang atau cinta tu, biarlah datang secara natural. Atau secara spontan. Kan lebih manis dan mengujakan macam tu? Kata-kata sayang/cinta tak perlu diminta-minta. Tak perlu juga dipaksa-paksa. Tak seronok macam tu. Macam tak ikhlas pun ada kan kan kan? Aku tau, orang perempuan yang suka sangat tanya soalan ni. Kalau jawab tak mengikut kehendak hati, mulalah muncung panjang sedepa, boleh buat gantung hanger. Eleh... toksah nak nipu akulah kata korang tak pernah buat camtu. Aku perempuan, aku tahulah!

Tapi kan kan kan... kenapa eh, kita selalu terlupa nak ucapkan kata-kata sayang tu pada ahli keluarga kita? Kalau kat pakwe ke, makwe ke, laju je. Hari-hari cakap "I love you! Muah muah muah!" kat SMS, kat YM, kat Twitter, kat Facebook, kat blog, kat mane-mane jelah. Sampai naik muak orang tengok. Tapi kalau kat mak ayah, takde pun nak muah muah muah. Ok, janganlah sampai muah muah muah. Kang orang tua tu kata korang buang tebiat. Cukup sekadar "I love you, mak!" atau "Love you, ayah!"

Malu? Sebenarnya aku pun sama jugak. Mama bukan jenis yang affectionate macam tu. Dia bab-bab macam cerita Hindustan ni kureng sikit. Tapi Hari Raya dan hari lahir Mama jadi hari istimewa, bila anak-anak peluk cium Mama dan tanpa segan-silu cakap "Love you, Mama!" Salah konsep ni. Patutnya hari-hari kena cakap dan buat. Tapi seriuslah, nanti Mama kata aku buang tebiat. So macam mana?

SMS?
Hantar e-mail?
Cakap depan-depan?

Isshhhh...

Takpelah, tunggu je lah 27 Disember nanti aku cakap kat Mama "I love you."

Friday, November 25, 2011

inglish edukesyen

Baru-baru ni, bila Harimau Muda menang pingat emas untuk Sukan SEA, Liverpool FC mengucapkan tahniah kat Harimau Muda melalui Facebook. Maka berduyun-duyunlah rakyat Malaysia mengaku mereka bangga menjadi rakyat Malaysia dan mengucapkan terima kasih kat LFC sebab ucapan tahniah tu. Bukan tu isu yang aku nak bangkitkan kat sini sebenarnya. Isu sebenarnya adalah apabila aku nampak komen-komen yang kata ini:


Congrates! Congrates! Congrates! Aku terpaksa facepalm bila nampak perkataan ni. Aku rasa malu bagi pihak mereka yang guna perkataan 'Congrates' ni. Serius weh. Dari mana korang belajar perkataan ni? Habaq mai sat, sapa yang ajaq hangpa perkataan 'Congrates' ni? Kalau cari dalam kamus dwi-bahasa, tak jumpa perkataan ni. Hatta google translate pun tak mampu nak translatekan perkataan ni. Tak caya? Tengok ni:


Nampak? Aku tak tipu. Perkataan 'Congrates' ni tak wujud, wahai kawan-kawan sekalian. Ya, aku tau korang nak mengucapkan 'Tahniah' dengan penuh bergaya tapi tolonglah gunakan perkataan yang betul. Perkataan asalnya adalah 'Congratulations' atau dalam bahasa ibunda kita, 'Tahniah'. Dan kependekan 'Congratulations' ialah BUKAN 'CONGRATES'. Kependekannya ialah 'CONGRATS'. Yang korang memandai pergi tambah huruf E tu siapa yang ajar? Ayah Pin ye? Patutlah...

Kalau korang letak 'Congrats', nescaya google translate pun mampu menafsirkannya...


Nampak tu? Tak nampak, sila klik kat gambar untuk gambar yang lebih besar dan jelas. Kalau tak nampak gak, sah pendek umur. Benda ni sangat simple sebenarnya, tapi yang salah tetap salah. Sebutan pun akan jadi lain. Banyak kali dah aku nampak perkataan 'Congrates' ni di Facebook, di blog, di Twitter pun ada walaupun rakyat Twitterjaya dah berapa kali perli perkataan 'Congrates' tu. Kenapalah kita suka sangat nak menambah atau ubah benda yang dah sedia simple, hah? Musykil, musykil.

Jadi, tolonglah, berhenti guna perkataan yang tak wujud tu. Malu tau Suarez ke, Gerrard ke tengok korang guna perkataan yang tak wujud tu. Bila Nelly kata orang Malaysia tak pandai cakap inglish, korang marah. Tapi kalau dah eja congrats pun tak betul, nak salahkan siapa?





Betul kata Usop Wilcha, penting tau inglish edukesyen tu.

Monday, November 14, 2011

bersyukurlah!

Kata orang, bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
Kata orang, bersyukurlah dengan keadaan kita seadanya.
Pendek kata, kata orang, bersyukurlah wahai umat manusia oi!


Aku bukan orang tak tau bersyukur. Aku ada rumah untuk didiami, ada baju untuk dipakai, ada kereta Mama nak tumpang pergi kerja tiap-tiap hari, ada laptop sendiri untuk memblog benda-benda mengarut seperti ni, dan walaupun gemuk dan rabun, aku tak tergolong dalam golongan OKU. Alhamdulillah. Aku antara manusia yang boleh dikatakan bertuah jugakla di muka bumi ni.

Ya, aku tahu bersyukur. Tapi kadang-kadang, harus diingat, dengan menerima keadaan kita seadanya sahaja, manusia bisa jadi complacent. Tahu apa tu complacent? Okey, jom kita try google translate tengok apa maksud complacent:


Complacent = berpuas hati. Senang cerita, complacent ni bermakna senang sangat berpuas hati. Aku sebenarnya spesis yang complacent jugak. Aku buat kerja yang sama dah tiga tahun lebih. Aku tak pernah terfikir nak tukar kerja. Sampailah ke bulan lepas. 

Aku buat semua kerja. Tapi gaji aku adalah sangat ciput. Nampak macam tak bersyukur kan? Macam ni lah, bayangkan situasi aku. Aku buat semua kerja kat ofis aku. Dari buat quotation ke tulis cek, dari beli alat tulis ke kemas ofis. Semua aku buat. Sebab aku staf tunggal kat ofis. Takdek orang lain dah kerja sini kecuali aku dengan bos. Jadi kalau ada kesilapan, ada benda yang tak kena, siapa yang kena marah? Cuba teka, cuba teka. Pandaiii...

Kadang - kadang aku kerja sampai 9 malam. Selalu aku kerja lebih dari masa yang sepatutnya. Aku tak pernah dapat OT. Aku ulang, tak pernah dapat OT. Ada orang, bila tau aku masih di ofis pukul 8 malam, kemain galak lagi kata aku kaya, banyak OT. Dan selalunya aku berdoa dalam hati, semoga masin mulut kalian ni. Esok lusa boleh aku pecat bos sendiri sambil buat gaya Donald Trump, "You're fired!"

Pagi ni, bila bangun tidur, aku rasa sangat-sangat depressed. Sangat. Aku jenis yang tak layan Isnin yang biru. Aku jarang terkena penyakit Isnin yang biru. Tapi pagi ni, aku rasa sangat berat nak kerja. Aku datang kerja dengan hati yang tak gembira, dengan semangat yang pudar. Agaknya, bekalan semangat dan kesabaran aku dah nak kehabisan dikikis masa. Aku rasa sangat penat. Sangat.

Mungkin aku tak bersyukur. Ada kerja, ada pendapatan. Tapi cubalah letak diri korang pulak kat tempat kat aku. Kalau korang tak tertekan dalam masa seminggu atau sebulan buat apa yang aku buat dengan bayaran yang aku dapat, tolonglah gantikan tempat aku. Pleaseeeeeee....



Friday, July 15, 2011

jauh sangat!

Aku selalu jugak tengok/dengar orang mengeluh. Di Twitter. Di Facebook. Di blog. Di dunia bukan maya. Mana-mana saja ada aje orang yang mengeluh. Mengeluh pendek, mengeluh panjang, mengeluh sekerat... macam-macam ada. Aku pun ada juga mengeluh. Kalau benda tak terjadi ikut perkiraan aku, aku mengeluh. Kalau apa yang aku nak aku tak dapat, aku mengeluh. Kalau aku buat silap pun aku mengeluh. Manusia, kan. Mengeluh tu semacam satu karakteristik yang memang sudah ditanam dalam seseorang manusia. Macam aku. Macam kau. Macam dia.

Kadang-kadang, kita tak sedar pun kita mengeluh. Sebab dah terlalu biasa mengeluh.

Tapi, aku pun tahu, mengeluh itu tak baik. Tak baik sama sekali. Aku nak kikis sifat suka mengeluh tu. Kalau boleh, biar tiada keluhan langsung keluar dari mulut atau hati aku ni. Aku mahu hidup tanpa perlu adanya keluhan. Biar sedikit, biar kurang, biar sakit, aku tak mahu mengeluh. Aku cuma nak teruskan hidup dengan lapang dada. Susah memanglah susah, tapi bukan mustahil pun. Jangan sampai aku berpepatah pulak. 


Mahu aku berlari
Berlari sejauh yang mungkin
Berlari dari realiti
Berlari dari masa lampau
Berlari dari masa kini
Berlari dari diri aku sendiri

Tapi...
Kiranya itu, bukan satu percaturan yang bijak
Berlarilah aku
Di atas treadmill pun jadilah
Destinasi aku...
Jauh sangat!


Friday, June 17, 2011

k-pop: apa masalahnya?

Kalau ikutkan, aku malas nak komen benda ni sebenarnya. Sebab apa? Sebab bagi aku, benda remeh. Semua orang ada pendapat sendiri, kan kan kan? Tapi kenapa, dalam kita menyuarakan pendapat kita sendiri, kita tak boleh nak menghormati pendapat orang lain? Kenapa? Why, tell me why? Kau suka keroncong, aku suka zapin, apa masalahnya? Okey, tipu. Aku tak tau pun sebenarnya nak layan zapin ni. Aku cuma bagi contoh.

Aku tengok kebelakangan ni, ramai betul orang mengutuk K-Pop. Ramai yang mencari sisi-sisi negatif K-Pop. Ramai yang hanya nampak kekurangan K-Pop. K-Pop, by the way, ialah merujuk kepada Korean Pop, iaitu lagu-lagu/muzik dari Korea. Aku suka K-Pop. Serius. Aku minat K-Pop. Aku suka BIG BANG, aku suka 2NE1, aku suka Baek Ji-Young, aku layan Girls Generation/SNSD.

BIG BANG: Seungri, GD, Taeyang, Daesung dan TOP. Tengok, aku siap tahu nama lagi.
Aku takla searif mana nak menilai sesuatu hasil seni tu, tapi lagu/muzik, macam makanan jugak, ikut selera masing-masing, ye dak? Aku kata lagu-lagu K-Pop tu sedap didengar dan menarik untuk ditonton. Faham ke tak lagu diorang tu? Helo, kata music is universal? Yang Shakira dok nyanyi Waka Waka tu, korang faham ke setiap bait-bait kata dia? Jangan nak tipu sangat. Korang nyanyi lagu tu segala idgham, dengung dia entah betul entah tidak pun bukan korang tahu, ye dak? Samalah macam aku dengar lagu K-Pop. Janji lagu-lagu dia kena dengan selera aku, beat dia menarik, jalan aje.

Girls Generation/SNSD. Maap, memang aku tak tau nama-nama diorang ni. Aku kenal Yoona sorang je.
Adik aku yang paling bongsu, Syaqirin, suka layan lagu-lagu rock kapak zaman 90-an. Segala macam BPR, Black Dog Bone bagai dia layan. Dia pernah nyanyi lagu Cinta Pantai Merdeka (aku tak tau siapa nyanyi) depan aku dari mula sampai habis. Lagu-lagu rock kapak tu makanan dia hari-hari. Aku setakat mengusik je kata taste dia teruk. Sebab aku tak layan lagu-lagu macam tu. Tapi takdela pulak aku pi huha sana huha sini mengutuk lagu-lagu tu dengan riaknya. Dah selera dia ke situ, biaq pi la kat dia, ye dak? Takkan kita nak paksa orang suka benda yang kita suka? Mana adil, beb!

2NE1. Pun aku tak tahu nama.
Ada sesetengah orang yang layan K-Pop, tapi kengkonon buat-buat tak layan. Kat Twitter habis dikutuknya K-Pop tu macam sampah gila. Padahal kalau lagu Nobody keluar, menari mengalahkan pondan Filipina. Dasar hipokrit, tahu? Kalau orang boleh hormat apa yang kau suka, kenapa kau tak boleh hormat apa yang orang suka? If you have something bad to say about what other people like, keep it to your fucking self, okay? Nak dengar lagu apa, layan muzik negara mana sekali pun, adalah hak milik setiap insan.

Super Junior. Kumpulan yang dok buat nama kat Eropah sekarang. Mak hayam hado?
Artis-artis Malaysia janganlah cepat melenting sangat dengan kehadiran K-Pop ni. Anggaplah ia sebagai satu persaingan sihat untuk uolls buat lagu-lagu/muzik yang lebih menarik. Apa pekdahnya yang kau nak laser sini, laser sana? Artis K-Pop ada kisah ke? Paling kuat pun, dia senyum je. Diorang ni kental sebab dah training dengan dahsyatnya. Setakat artis Malaysia mak hayam melaser, heran apa diorang, ye dak? Bukannya mak hayam fofuler sampai ke Eropah nun. Pokok pangkalnya, peminat tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Setakat dengar lagu, enjoy konsert artis-artis Korea, apa masalahnya?





Tapi kan kan kan... seriuslah. Aku serius memang tak boleh terima yang ini...

Tolong mak, mak geli nyah! Mak geli!


Friday, June 03, 2011

bahagian yang kurang rasional berbicara

Aku jarang buat benda gila. Gila, dalam erti kata lain, buat benda yang tak pernah aku buat selama ni. Tapi kadang-kadang, ada jugak aku buat. Contohnya, pergi Penang balik hari tanpa hala tuju. Saja-saja buat. Sebab aku rindu Penang. Kat Penang, pandai nak naik bas mana pergi sana sini. Kat KL? Komuter ada, LRT ada. Naik bas haram aku tak tahu. Angah je yang pandai. Dia siap hafal nombor bas.

Tapi tak tau kenapa dua tiga hari ni, bahagian aku yang kurang rasional mula berbicara. Perkara pertama yang aku tergerak nak buat ialah potong rambut. Sependek mungkin. Gila, tahu? Muka aku bulat macam bola. Kalau potong rambut sependek-pendeknya, terus nampak macam Jabulani.

Rambut paling pendek pernah aku ada. Gambar dolu-dolu. Jangan gelak.
Nama pun kurang rasional, nak buat perangai je kerja. Bikin pening kepala kau ni. Tapi takpe, normal sentiasa pun bosan jugak, kan? Sekali-sekala nak buat sesuatu dia luar kebiasaan, apa salahnya? Bukan nak terjun KLCC pun, potong rambut je. Okey, ayat penyedap hati. Sayang sebenarnya nak potong. Dah panjang. Tapi, tapi, tapi... sebenarnya aku malas nak jaga. Malas nak syampu kemudian letak perapi. Panas pulak tu. Okey, masa untuk berfikir.

Benda kedua yang kurang rasional aku nak buat, nak pi naik Genting. Seorang diri. Ini betul-betul tak rasional. Pertama sekali, apa jadah nak buat naik Genting sorang-sorang? Kedua, tak takut ke pi Genting sorang? Kalau orang culik macam mana? Kena pukau ke, ha? Nak main Space Shot sorang-sorang? Nak naik roller coaster sorang-sorang? Nak jalan-jalan sorang-sorang? Nak buat semuanya sorang-sorang?

Aku dah kata, kurang rasional. Orang lain kata kurang cerdik. Kalau Mama, dia mesti kata kerja bodoh.

Aku paling cemburu dengan yang ini.
Dah lama tak pi Genting. Orang lain pergi, aku kena tinggal sentiasa. Cemburu, tahu? Aku nak pergi sorang-sorang je lah macam gitu. Tapi sebenarnya ada sedikit tak berani. Tapi, siapa yang nak culik aku? Takde punya orang nak culik. Tak larat nak bawak oi. Apa salahnya enjoy seorang diri? Jalan-jalan, tengok ragam umat manusia, tengok kekasih berkasih-kasihan, tengok budak-budak bersuka ria. Macam best...

Aku kurang rasional. Jangan percaya sangat dengan apa yang tertulis di sini.









Okey, aku tipu. Benda ni boleh terjadi. Bila-bila masa. Bila bahagian yang kurang rasional menguasai diri.

Friday, April 29, 2011

review lagi: pecah

Aku ingat aku nak mulakan review ini dengan mukadimah yang panjang (dan bosan) tentang novel Melayu dan aku. Tapi ini bukan masanya. Aku sendiri bosan dengan mukadimah yang aku taipkan tadi. Aku tekan kunci backspace dan mula semula. Aku nak buat review, bukan nak membebel. Tapi selalunya konon-konon nak buat review yang pendek, ringkas dan padat. Tipu. Konon-konon. Mesti jadi panjang berjela juga nanti.


Siapa Khairulnizam Bakeri? Aku tak kenal. Aku tak pernah lagi bersua dengan nama ni dalam dunia penulisan di Malaysia. Dia ada blog, aku tak pernah baca. Dia ada Twitter, aku baru kenal. Aku kenal Khairulnizam Bakeri melalui kicauan mamat rempit berhelmet biru di Twitter. Dan aku juga hanya tahu mengenai novel Pecah melalui kicauan teman-teman di Twitter. Bagus Twitter ni, kan?

Pecah berkisar tentang jenayah terancang yang sempurna. Pecah berkisar tentang rahsia dan misteri di sebalik jenayah terancang yang sempurna. Sekumpulan lelaki yang dikepalai Herman merompak sebuah bank di Shah Alam. Alan, salah seorang perompak, cedera ditembak pengurus bank. Sudahnya, dia terperangkap di hospital. Hospital yang sama juga menempatkan Bakar, seorang penghuni rumah orang tua yang punya latar belakang hitam.

Selain wang ringgit, sebuah peti simpanan turut dirompak. Inspektor Paul yang menyiasat kes rompakan dihimpit bingung dengan rahsia peti simpanan itu. Peti simpanan itu pula berada di bawah nama Bakar, orang tua yang terbaring koma di hospital. Dan kemudian Alan dapat menghilangkan diri dari pemerhatian polis, dari radar Inspektor Paul. Jalan untuk menyelesaikan kes rompakan tersekat.

Watak-watak di dalam Pecah adalah saling berkait sesama mereka. Mereka ada kisah di sebalik hubungan yang terjalin. Kisah watak-watak novel Pecah dipersembahkan dalam bentuk flashback yang membawa pembaca mengenali setiap karakter dengan lebih dekat. Apa motif bank dirompak? Apa motif hanya sebuah peti simpanan dilarikan? Hanya sehingga helaian muka surat terakhir baru semua jawapan terungkai.

Tak salah kalau aku kategorikan Pecah dalam genre aksi atau thriller. Jadilah aku macam Inspektor Paul, mencari logik di sebalik rompakan yang terjadi. Baca dari muka surat pertama sampai muka surat terakhir. Aku baca dua kali muka surat terakhir sahaja. Serius. Sebab aku terkejut dengan ending Pecah. Nak hadam pengakhirannya ambil sedikit masa.

Kisah dalam novel Pecah bukan kisah yang boleh kita lihat hari-hari, bukan kisah biasa. Tapi itulah keistimewaan Pecah. Pecah bukan novel klise. Dan aku suka Pecah. Suka sangat-sangat. Sebab ada aksi, ada misteri, ada adegan flashback yang realistik, ada perkataan-perkataan yang mengharuskan aku buka Kamus Dewan, ada pembalasan dendam, ada adegan ranjang (yang selalunya tak berani ditonjolkan orang lain), ada rahsia. Yang tak ada, kisah cinta meleleh. Tak rasa kekurangan pun.

Ehem. Satu lagi novel yang berautograf. And yes, Encik Nizam, I enjoy Pecah. Very much.

Terima kasih buat saudara Nizam untuk sebuah novel yang aku kira agak hebat ini. Bahasanya cantik tersusun, karakternya realistik tanpa perlu nama yang tergeliat lidah nak menyebut dan yang paling istimewa, perbualan karakter Stephen dan Zhu En dalam bahasa Kantonis (lengkap dengan translasi). Banyak sebenarnya keistimewaan Pecah. Nak tahu, kena baca sendiri.


Monday, April 25, 2011

review: kerana terpaksa

Jumaat lepas, aku ambil kesempatan (mencuri kesempatan, sebenarnya) menjejakkan kaki ke PWTC untuk KL International Book Fair 2011 (KLIBF2011). KLIBF2011 bermula dari 22 April 2011 hingga 1 Mei 2011. Penggila-penggila buku aku pasti tidak tega membiarkan diri sendiri tidak menjengukkan wajah ke sana. Rugi woi!

Aku pergi, matlamat sudah tetap sebenarnya. Aku nak beli tiga buku keluaran syarikat penerbitan Amir Muhammad, FIXI. Tapi itu cerita lain. Cerita kali ini, cerita tentang novel tulisan seorang teman yang aku kenali melalui Twitter. Seseorang yang aku cukup suka penulisannya melalui blognya yang turut terselit artikel-artikel dari kolumnya di Sinar Harian. Ini bukan bodek atau kerana terpaksa ye, ini jujur.

Okey, aku dah kata aku akan buat review novel beliau, maka aku kotakan kata-kata aku. Perlu diingat, aku bukan pembaca novel Melayu yang tegar. Aku sedikit skeptik dengan novel Melayu dan aku suka stereotaip novel Melayu. Tapi tak kesemuanya, hanya sesetengah novel Melayu. Yes, I am snobbish like that. Tapi tak bermaksud aku tak layak buat review, kan?


Kerana Terpaksa mengisahkan seorang gadis, Suria dan seorang pemuda, Tengku Haizal. Mereka bertemu, berkenal dan menyulam kasih ketika masih di bangku sekolah. Suria hanya seorang anak gadis yang lahir di dalam sebuah keluarga biasa, golongan orang kebanyakan yang perlu bekerja untuk mencari sesuap nasi. Tengku Haizal pula datangnya dari generasi berdarah biru yang tak kenal erti susah.

Kata orang, enggang sama pipit manakan terbang bersama. Sejak dari mula, hubungan antara Suria dan Tengku Haizal mendapat tentangan maha hebat dari bonda Tengku Haizal. Dugaan demi dugaan mendatangi sepasang kekasih ini, dari zaman persekolahan hingga ke universiti dibawa hingga ke alam dewasa. Rasa kasih, cinta, ragu dan marah berlaga dari masa ke semasa. Tak pernah perhubungan mereka dilanda tenang.

Membaca Kerana Terpaksa seolah-olah seperti sedang menonton sebuah drama Melayu di TV3. Ada orang baik, ada orang jahat. Ada orang biasa, ada Mak Datin. Ada cerita cinta. Aku orang kebanyakan, maka aku rasa aku serasi dengan watak Suria. Aku faham dengan dilema Suria, dengan kekeliruan dan keraguan Suria. Dan aku juga faham dengan kekerasan hati dan kedegilan Suria. Fool me once, shame on you. Fool me twice, shame on me. Begitu pepatah Inggeris yang aku rasa Suria gunapakai.

Watak Tengku Haizal pula... macam mana nak kata ya? Ya, dia anak orang kaya. Tapi anak orang kaya ni tak ada wawasankah? Tak ada cita-citakah dia? Kerjanya mengejar cinta Suria, dari negara sendiri ke negara orang. Geram jugak aku dengan si Romeo (bak kata Suria) ni yang semacam terlalu taksub dengan Suria. Kalau aku, aku tak mahu hidup dengan lelaki macam ni. Memangla kaya, tak payah bekerja, tapi apa jaminan masa hadapan? Contoh apa yang diberi kepada anak-anak kelak?

Olahan karakter-karakter lain dalam Kerana Terpaksa adalah hampir realistik. Ibu yang garang dan tegas namun cukup menyayangi anak-anaknya, bapa yang tidak banyak bicara namun apabila mulutnya dibuka, penuh dengan maksud dan pengajaran. Adik-beradik yang tak lokek membantu bila diperlukan. Ikatan keluarga yang aku kira semua orang boleh faham.

Jalan cerita Kerana Terpaksa pun, aku kira, semua orang boleh faham. Ringkas sahaja. Cerita cinta dua insan yang mendapat tentangan. Cuma aku rasa kalau penggunaan loghat Terengganu diselitkan sekali-sekala di dalam dialognya, akan lebih realistik. Kedua-dua mereka berasal dari Terengganu, jadi aku rasa ada kekurangan bila dialong-dialognya dituturkan seperti orang KL yang bercakap. Kalau boleh diselitkan perkataan "lof" (menggantikan perkataan "love" yang ditutur dalam loghat Inggeris), aku rasa sepatah dua perkataan di dalam loghat Terengganu takkan menggugat pemahaman pembaca.

Aku juga semacam seorang spelling gestapo, laju je nampak kesalahan ejaan. Tapi tidaklah banyak sampai merosakkan pengalaman membaca Kerana Terpaksa. Terganggu saja sedikit dengan kepelbagaian ejaan dissertation. Kalau ejaan lain-lain keliru pulak pembaca nanti dengan bahasa akademik ni. Ada dua tiga lagi typo tapi tak ingat. Itu tandanya, ia tak penting pun.

Secara keseluruhannya, bagi aku, sebagai sebuah percubaan pertama, Kerana Terpaksa mampu menandingi novel-novel Melayu dalam genre yang sama yang sedia ada di pasaran. Tiada yang kompleks, yang renyah tentang Kerana Terpaksa. Aku enjoy membaca hasil pena penulis ini. Aku menyumpah-nyumpah si bonda Tengku Haizal dengan onarnya. Aku berfikir sejenak bila pilihan bonda Tengku Haizal mengatakan bahawa "Love is overrated". Itu maknanya penulisan Ilham Kalsom berkesan. Dan bagi aku, itu sudah cukup bagus.

Ya, aku nak tunjuk dekat semua orang bahawa akulah orang pertama yang dapat autograf beliau.


Sekian, terima kasih.



Nota kaki: Ulasan dilakukan dengan hati yang rela dan bukan kerana terpaksa. Tiada sebarang unsur-unsur rasuah terlibat dalam proses pembikinan ulasan yang tidak seberapa ini. Aku bukan seorang pengulas/pengkritik profesional, hanya menaip dari sudut pandangan aku sendiri. Jika ada yang tersentuh hati, maaf dipohon.


Wednesday, March 23, 2011

angkat, tolak, masuk... kenyang!

Ini ialah posting secara rawak. Tiada tujuan spesifik. Cuma aku rasa bersalah apabila minggu lepas aku memblog secara rakus, tapi minggu ni aku membisu. Minggu ini, ini posting pertama. Tak cool, beb, tak cool. Tapi kalau minggu depan, atau mungkin bulan depan blog kembali sunyi, salahkan Twitter. Serius. Facebook pun sudah hilang keseksiannya. Itu memang serius.

Serupa seperti seorang jurugambar yang aku kenal, aku pun mencari bahan-bahan yang menarik untuk menjadi tatapan mata aku dan mata korang bila buka blog yang tak semenggah ni. Aku pun jadi seorang poseur. Poseur blogger dan jurugambar. Kenyataanya, lagi banyak gambar, lebih sedap mata memandang.

Tak gitu, wahai Cik Jurugambar?

Seronok tahu, berjalan-jalan di sekitar kotarayaku, tengok gelagat orang. Lama tak menjejak kaki di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman. Aku dah graduate dari Jalan TAR ke Mid Valley. Aku bukan seorang pemandu. Aku bergantung harap pada KTM Komuter, walaupun sebenarnya KTM Komuter suka memberi harapan penuh kepalsuan pada orang kebanyakan macam aku.

Jalan-jalan di Jalan TAR, aku telah menetapkan satu destinasi. Itu pun setelah disogok dengan kata-kata indah dari penduduk Twitterjaya. Macam kena hipnotis. Maka minda dah termaktub, nak cari Restoran Kudu. Nak makan nasi di Kudu. Ada cerita kelakar, tahu? Ceritanya, naik teksi dari Semua House nak ke Kudu yang jaraknya adala dalam tujuh minit berjalan kaki dari Sogo. Macam diperbodohkan dengan alam semesta.

Semata-mata nak makan nasi kandar ini.

Apa aku boleh kata? Orgasmik. Nasi kandar dengan lauk sotong, campuran kuah kari, bendi rebus/celur, telur asin, sayur kobis dan keriak-keriuk papadom bergabung lalu meletup. Aku rasa macam sebulan tak makan nasi bila makan nasi kandar di Kudu. Terharu. Cik Jurugambar, jangan cerita. Sekali suap, dia macam dicium Francesco Carrozzini.

Sudahlah hujan turun renyai-renyai petang tu. Lepas pekena nasi kandar yang orgasmik, kena berjalan demi untuk mengelakkan rasa nak tidur di tengah-tengah jalan. Hujan. Jalan. Tahu apa yang sedap? Kopi. Sumpah tekak terus terloncat-loncat kegembiraan bilamana imej kopi panas terlukis di otak. Dari kejauhan sudah ternampak Starbucks. Oh. Jalan dulu, wei, bagi turun nasi!

Dasar elitis! Macam kedai kopi lain takde kopi panas. Pada Yahudi juga duit ditabur, kan?
Oops. Jangan ada punggung yang terluka, ya?

Alkisahnya, aku bertemu 'seseorang' pada hari itu. Mujur di siang hari. Kalau di malam hari? Mungkin aku pengsan dulu sebelum sempat butang kamera ditekan. Tapi di siang hari pun macam gampang juga, tahu? Efek 'pakaian' beliau... terlalu kuat. Imaginasi aku, macam ditekan-tekan untuk bermain. Pelbagai senario terbayang dalam kepala otak aku.

Kalau 'dia' muncul di malam hari di sebelah katil aku, lalu bagaimana? Rasa aku, nak menjerit pun lidah dah kelu. Hanya mampu main mata, mungkin. Tu pun kalau 'dia' ada mata. Celaka. Sekarang aku dah rasa seram.

Ah. Perlu aku ingatkan di sini, semalam hari lahir aku. Yang ke-26. Aku tak tipu. Aku dah 26 tahun, bukan 15 atau 17 tahun atau pun 23 tahun seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. Kembang-kempis hidung aku pun, aku tetap takkan menafikan umur aku. Bisa aja kalau kalian tetap berkeras dengan kenyataan kalian bahawa umur aku adalah 15, 17 atau 23 tahun. Forever young.

Aku Along. Dia Angah. Hakikatnya, umur aku dengan dia tak sampai setahun beza pun.

Aku harap ada orang bagi buku ni sebagai hadiah pada aku. Aku nak baca. Persetankan apa kata orang.

Ahhhhhh. Hidup ini kadang-kala terasa manisnya. Lagi-lagi bila diberi perhatian pada hari lahir sendiri, kan? Tapi jujurnya, aku sudah rasa sedikit tua. Aku sudah rasa dunia sedikit berubah paksinya. Bukan sebab gempa bumi itu. Dunia aku. Apa, kalau dunia ini berubah paksi, korang ada perasan ke? Korang ada kisah? Tak, kan? Jangan nak tipu. Janji korang boleh log in Facebook, dah cukup. Oops. Jangan terluka punggung lagi. Aku bergurau. Dengan sinis.

Hidup ini, kadang-kala manis. Macam Creme Brulee ni. Nikmati ia selagi mampu.


Thursday, March 17, 2011

we like to move it move it!

Ada satu kegilaan yang sedang berlaku di rumah aku sekarang. It's madness, yo! Kegilaan itu adalah bernama PlayStation Move. Apa itu PlayStation Move? Baca sini, please. Tapi kalau malas nak baca, secara ringkasnya, PlayStation Move ialah seperti extension untuk PlayStation. It's a motion-sensing controller. Means, korang kena bergerak untuk menggunakan benda ni. Dan ia adalah super duper cool, y'all!

Ini ialah rupa controller tersebut:

Cool, kan? Macam mikrofon yang funky, no?

And you know what's the coolest thing about PlayStation Move? Boleh main game sambil exercise. How freaking cool is that? The term for it is 'Exergame' to be exact. Nama pun PlayStation Move, jawabnya kenala move around, kan?

Antara game yang aku paling layan sekali ialah game Archery dalam siri Sports Champions.

Grafik sangat cantik, rasa macam real je bila main.

Ada enam games semuanya dalam siri Sports Champions. Satu lagi yang paling layan ialah Gladiator Duel Game lawan pedang. Yang ini rasanya lagi ekstrem dari game lain sebab kena gerakkan seluruh anggota badan. Sampai ada yang sakit pinggang main Gladiator ni! Gladiator boleh main 2 orang so kalau rasa-rasa macam nak lepas geram, sangatla sesuai.

Hot chicks? Cat fight? LOL.

Adik-adik aku main dengan penuh perasaan, ok, bila main Gladiator Duel. Kawasan depan TV tu kena bagi clear sebelum main. Kalau tak, akan terjadi kemalangan jiwa. Tak percaya? Tengok ni:

Gambar ialah blur sebab diorang tengah bergerak dengan pantas. Nampak benda yang macam lightsaber tu? Tu lah motion controller tu.

Bila first time main, semua orang jadi macam orang tua lepas tu. Ada yang sakit pinggang, sakit badan, sakit itu, sakit ini. Yang jadi tempang sekejap pun ada jugak. Itu penangan PlayStation Move. Tapi lama-lama dah biasa, okeyla.

Last sekali, aku tinggalkan korang dengan rakaman orang yang main GladiatorDuel dengan penuh aksi:


Do try this at home, ya? Hehehehe.

Saturday, January 22, 2011

khurafat: ini bukan sebuah review


22 Januari 2011, GSC Mid Valley Megamall (Hall 12) - Tiket untuk tayangan filem Khurafat arahan Syamsul Yusof pada pukul 1.45 petang dilaporkan habis dijual. Itu pun menurut observasi penulis sendiri ketika duduk di dalam panggung menunggu iklan habis ditayangkan sambil mengunyah bertih jagung yang rangup dan enak.

Kira-kira jam 2 petang, lampu panggung dipadamkan dan tayangan filem Khurafat dimulakan. Penulis merasakan bahawa permulaan filem tersebut agak boleh tahan dan seperti menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Penulis sehingga sanggup menyerahkan bertih jagung kepada adiknya untuk memberi fokus yang dalam kepada filem itu.

Namun begitu, apabila detik filem memasuki fasa takut-tak-takut, terdengar suara-suara yang kurang enak dari belakang dan sebaris tempat duduk penulis. Detik tidak best ini terjadi apabila Aishah (Liyana Jasmay), isteri kepada Johan (Syamsul) melihat hantu yang lebih menakutkan dari hantu Ju-On merangkak menaiki tangga rumahnya.

"Eee... suami dia tak dengar ke?"
"Eee... tak suka la cerita hantu macam ni!"
"Eh, kenapa diorang tidur sorang pusing arah lain, sorang arah lain?"

Ketika ini penulis berasa teramat menyampah dengan suara-suara sumbang tersebut lantas terus menyuarakan rasa bebal terhadap meleis-meleis itu melalui Twitter. Penonton di barisan J, kerusi 15 dan 16 amatlah mencabar kesabaran penulis dalam menghayati ketakutan filem Khurafat dan ketrampilan Syamsul Yusof sebagai pengarah, pelakon dan pen-rapper filem tersebut.

Beberapa minit kemudian, suara-suara sumbang pula kedengaran dari barisan I, tempat duduk 10 hinga 14.

"Heee... nanti hantu keluar!"
"Kenapa macam tu?"
"Kenapa macam ni"

Sambil kaki mereka menendang tempat duduk penulis dan juga adik penulis di sebelah. Tidak terlampau jika dikatakan bila-bila masa sahaja penulis dan adik beliau sendiri akan menjadi hantu yang lebih menakutkan dari hantu Anna.

Minat penulis pada ketika itu untuk menghayati hasil karya anak Datuk Yusof Haslam terus lenyap dibawa suara-suara gedik nak mampos meleis-meleis di barisan J dan I. Maka penulis meluahkan segala rasa di dalam Twitter. Adik penulis pula memberi amaran kepada meleis di barisan J untuk memperlahankan suara mereka, namun nampaknya mereka cuma akan faham bahasa tapak tangan. Kami teror, tapi kami bukan terrorist.

Tiada langsung ketakutan bersarang di jiwa penulis, sekalipun apabila melihat Johan membawa mayat yang sudah siap dikapan berlari di dalam hutan. Takut sikit je bila tengok muka hantu Anna tercongok kat dalam keranda. Oh. Dengan takut sikit je bila hantu Anna skodeng Aishah kat tingkap bilik.

Secara kesimpulannya, penulis tidak berapa menghayati filem yang khabarnya sudah mengutip untung kasar RM 2 juta something ni. Nak jerit pun tak berapa nak feel. Kalau jerit kat meleis barisan J dan I mungkin adalah lebih feel. Tapi lakonan Sabrina Ali sebagai Anna adalah mantap. Boleh tak you pergi kacau malaun barisan J dan I yang bising tu malam ni, wahai Anna? Please, please, please? Lakonan Syamsul masih ada ruang untuk diperbaiki. Dan Cik Liyana Jasmay sebagai isteri? Uh, maaf, penulis tidak berapa nak boleh telan.

Nasihat penulis, kalau anda rasa nak menonton filem ini, pastikan anda beli semua seat di barisan hadapan dan belakang anda dan juga semua seat di barisan anda untuk mengelakkan komentari secara live yang amat menyakitkan hati. Atau lebih afdal tunggu Astro Box Office. Atau kalau dah kedekut taik hidung masin sangat, sila tunggu tayangan filem ini di Aidilfitri nanti.

Sekian dulu bukan-sebuah-review dari saya, Ummi Farhana Zulkifli. Semoga meleis-meleis yang disebutkan di atas membaca penulisan saya ini dan segera bertaubat sebelum hantu Anna skodeng anda di tingkap.

Seat penulis adalah bernombor 13. Malang sekali.
Eh, khurafat doh!


Friday, January 21, 2011

konspirasi illuminati?

Aku rasa memang konspirasi Illuminati la untuk mencarik-carikkan hati aku bila melangkah ke tahun baru ni. Serius. Ok, tak, tak serius. Aku tipu je. Mana ada konspirasi Illuminati bagai ni oi! Jangan dok berkonspirasi sangat, faham?

Setiap apa yang terjadi dalam hidup kita, ada hikmahnya, tahu? Bukan saja-saja benda tu nak jadi. Ingat, yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu, sendiri mau ingat la dei! Ini pesanan penaja untuk diri aku sendiri. Sebab aku tengah heartbroken. Usah ditanya mengapa dan bagaimana. Cewah!

Source: Google

Hidup ni kena melangkah maju ke hadapan, bukan ke belakang. Toleh ke belakang sekali-sekala untuk ambil iktibar, belajar melalui kesilapan. Bak kata Julius Caesar, "Experience is the teacher of all things." So, hidup perlu diteruskan dengan menjadikan pengalaman sebagai cikgu. Bukan cikgu Sains ke, Matematik ke, Sejarah ke... tapi cikgu subjek 'Kehidupan'. Kat sekolah takde ajar, harap maklum.

Source: Google jugak

Aku harap, orang senyum bila baca posting kali ni. Bukan bersimpati, tetapi sebaliknya senyum sebab aku masih boleh berdiri, berjalan dan berjoging walaupun aku terjatuh. Aku masih tahu bangun sendiri tanpa perlu dipimpin. Jalan pun boleh jalan sendiri tapi aku suka sangkut tangan kat adik aku bila berjalan. Mesra gitu tau.

Saya heartbroken, saya okey. Esok tengok Khurafat nak?



Friday, December 03, 2010

ini reviu bollywood hai

Aku rasa aku tak pernah buat reviu filem-filem Bollywood, kan? Dasar hipokrit betul aku ni. Punyalah mencintai filim Bollywood tapi satu reviu pun tak pernah buat. Jadi untuk menebus ke-hipokrit-an aku itu, maka aku akan buat reviu tiga filem sekaligus. Tiga? Ya, tiga. Tak suka, tutup mata. Aku suka filem Bollywood. Fakta, bukan auta. Okey, jom kita mulakan reviu hari ini!

1. I Hate Luv Storys

Pelakon: Imran Khan (Jay, hero), Sonam Kapoor (Simran, heroin), Sameer Dattani (Raj), Samir Soni (Veer), Bruna Abdullah (Giselle)

Sinopsis: Simran suka sangat kisah cinta, Jay benci sangat kisah cinta. Walaupun bekerja sebagai penolong seorang pengarah terkemuka yang siang malam buat kisah cinta, Jay tetap tak suka kisah cinta. Merepek, katanya. Lagi-lagi kisah cinta Bollywood, penuh dengan kemerepekan. Jay kata, bukan aku.

Jay dan Simran bertemu, kepercayaan bertentangan. Dan entah macam mana, Simran jatuh cinta dengan Jay, walaupun dia dah ada seorang tunang yang sempurna. Jay mula-mula rejek Simran habis-habisan. Dia tak percaya cinta, dia tak jatuh cinta, dia tak rasa cinta. Itu kata Jay. Maka Simran pun kecewa, tak nak kawan Jay dah.

Bila Simran dah tak nak kawan dengan dia, barulah Jay tu sedar dia pun dah jatuh cinta dengan Simran. Maka dia pun kena berusaha untuk mendapatkan cinta Simran yang dah tak nak kawan dengan dia, dengan pertolongan kawan-kawan dia.

Suka: Cerita ni buat parodi filem-filem Bollywood lain. Antara cerita yang diparodikan ialah Dil Chahta Hai, Kabhi Khushi Kabhi Gham, Mohabbatein, Kuch Kuch Hota Hai dan banyak lagi. Serius kelakar.

Tak suka: Starting agak lembab.

Soundtrack: Best, menarik. Lagu-lagu dia romantik dan merdu, standard Hindustan la kan. Antara lagu yang aku suka ialah Bahara dan Sadka.

Trivia: Imran Khan ialah anak saudara kepada Aamir Khan. Sonam Kapoor pula ialah anak kepada Anil Kapoor.

Rating:


2. Ajab Prem Ki Ghazab Kahani

Pelakon: Ranbir Kapoor (Prem, hero), Katrina Kaif (Jenny, heroin), Upen Patel (Rahul) dan penampilan istimewa dalam lebih kurang lima minit, Salman Khan sebagai Salman Khan.

Sinopsis: Prem, presiden Happy Club ialah seorang jejaka yang takde kerja nak buat selain mengacau orang lain dengan kawan-kawan dia. Terberkenalan dengan Jenny bila dia salah nak culik kekasih kawan dia. Prem jatuh cinta pandang pertama dengan Jenny tapi dia tak reti macam mana nak bagitau Jenny.

Semenjak berkenalan dengan Jenny, Prem berubah sikap. Dia mula bekerja dan tak merempit melepak lagi. Tapi keluarga Jenny tak suka Prem, jadi diorang nak kahwinkan Jenny dengan seorang mamat yang macam sial. Prem tolong Jenny lari tapi dia tak bagitau jugak dia suka Jenny.

Rupa-rupanya, Jenny dah ada kekasih hati, Rahul. Bapak Rahul pulak tak suka Jenny sebab Rahul beragama Hindu dan Jenny ialah Kristian. Bapak Jenny ialah seorang ahli politik, harap maklum. Jadinya, Prem yang sayang sangat kat Jenny cuba menyatukan Jenny dengan Rahul walaupun dia tak rela.

Suka: Cerita ni takde saat-saat serius langsung. Dari mula sampai habis, lawak je. Tapi bukan lawak slapstik, okey. Gandingan Ranbir Kapoor dan Katrina sangatla meletop dan comel. Serius aku suka cerita ni.

Tak suka: Kadang-kadang rasa macam meleret sangat, jadi lambat.

Soundtrack: Lagu dalam cerita ni semuanya best. Kiranya sesuaila dengan trend muzik sekarang yang upbeat dan tak ketinggalan zaman. Antara lagu yang aku suka ialah Prem Ki Naiyyan, Tera Hone Laga Hoon dan Jab Pyaar Hota Hai.

Trivia: Ranbir Kapoor merupakan anak kepada Rishi Kapoor (hero Bobby). Katrina Kaif dan Salman Khan pernah bercinta selama beberapa tahun tapi kemudian putus.

Rating:


3. Anjaana Anjaani

Pelakon: Ranbir Kapoor (Aakash), Priyanka Chopra (Kiara), Zayed Khan (Kunal)

Sinopsis: Aakash dan Kiara bertemu di atas jambatan George Washington sebab dua-dua nak bunuh diri. Aakash nak bunuh diri sebab masalah kerja dan kewangan, Kiara pulak nak bunuh diri sebab tunang dia curang. Nak bunuh diri pun tak jadi sebab ada aje halangan. Macam-macam cara diorang cuba nak bunuh diri tapi gagal.

Kiara akhirnya buat keputusan diorang akan bunuh diri sama-sama pada 31 Disember, malam tahun baru. Sebelum bunuh diri, Kiara dan Aakash sama-sama cuba untuk buat benda yang diorang tak pernah buat masa diorang hidup.

Dalam menjalani hari-hari terakhir mereka, Aakash jatuh cinta kat Kiara sebab Kiara cun sangat. Kiara pulak asyik teringat kat tunang tak guna dia lagi. Akhirnya Aakash kata takyahla bunuh diri, balik je rumah masing-masing.

Suka: Ranbir sangatla kacak dalam cerita ni dan Priyanka sangatla cantik dengan rambut pendek dia. Cerita dia agak lain dari cerita Hindustan lain.

Tak suka: Idea nak bunuh diri tu terlampau.

Soundtrack: Lagu dia kebanyakan best dan upbeat. Antara lagu kegemaran aku ialah Anjaana Anjaani, I Feel Good dan Tumse Hi Tumse.

Trivia: Priyanka Chopra ialah Miss World 2000. Filem ni shooting sepenuhnya di US.

Rating:


Itu dia reviu aku yang tak berapa nak serius. Aku reviu melalui pandangan aku, okey. Setakat nak merehatkan otak di hujung minggu bolehla layan filem-filem yang aku reviukan di atas. Kalau tak suka sudah, pergi main jauh-jauh.

Sekian.


Monday, October 04, 2010

online secara freeeeee!

Aku rasa ramai orang adalah masih blur lagi dengan konsep Opera Mini. Opera Mini, secara ringkasnya, ialah browser untuk telefon korang. Bagi aku, itu ialah Opera Mini. Simple. Mudah. Browser telefon, sepertimana Firefox atau Chrome browser untuk PC. Aku dah lama gunakan Opera Mini sebab aku rajin online. Aku suka ber-facebook, aku suka ber-twitter. Malah kalau tengah tengok TV, kalau aku tak tau siapa pelakon yang ada kat rancangan tu, aku boleh google on the spot. Takyah bukak PC or laptop.

Tapi, korang tahu tak bahawa sesungguhnya korang boleh browse internet secara percuma dengan menggunakan Opera Mini? Eh kejap. Apa yang bakal aku taipkan di sini adalah khusus untuk mata pengguna-pengguna prepaid Hotlink sahaja. Yang pengguna-pengguna lain tu bolehla klik butang 'X' sekarang juga. Tapi kalau nak teruskan membaca pun I tak kisah, noks. Sama-sama berkongsi pengetahuan (benda ni termasuk ke dalam kategori pengetahuan?).

So, macam mana nak online secara percuma melalui Opera Mini? Mudah aje caranya. Ini langkah-langkahnya:
  1. Download Opera Mini ke henpon anda. Install.
    * Orang kata Opera Mini versi 5.0 ke atas saja boleh buat ni tapi aku punya versi 4.2, boleh je online free.

  2. Tekan *100# pada telefon dan kemudian tekan butang dial atau send.

  3. Kemudian ambil pilihan no. 7 ataupun Internet and Settings/Internet dan Tetapan.

  4. Pilih no. 3 atau Prepaid Broadband.

  5. Pilih no. 4 atau Service Switching.

  6. Pilih no. 2 atau Switch to Prepaid Broadband.

  7. Pilih no. 1 atau Proceed.

  8. Tunggu SMS pengesahan.

  9. Bukak Opera Mini.

  10. Apa lagi, online la!
See? Senang je kan? Kan dah kate...
Tapi, pastikan korang check baki kredit korang dulu. Lepas tu, test-test Opera Mini buat sejam dua seminit dua dan check semula baki. Kompem takde tolak punya.

Tapi kena ingat beberapa perkara:
  • Bila dah switch ke Prepaid Broadband, korang takleh send atau receive MMS. Video call masih boleh.
  • Untuk send atau receive MMS, buat seperti langkah 2 hingga 5.
  • Kemudian pilih Switch to Hotlink dan Proceed.
  • Dalam 5 - 10 minit selepas dapat SMS pengesahan, dah boleh send atau receive MMS.
  • Ini ialah untuk PENGGUNA PREPAID HOTLINK SAHAJA.
Silalah mencuba. Kalau tak boleh jugak, lantak korang la ye. Eheh!

P/S: Selamat mencuba. Kalau ada apa-apa nak tanya, sila la tanya. Kalau boleh ditolong, akan ditolong. Kalau tak, maap la ye. Sekian.


Update:
Ok, sedikit update untuk korang yang ada soalan. Opera Mini boleh didownload di sini. Sedikit step by step tutorial:




Kemudian pilih siri telefon. Masuk dalam telefon dan install. You are then good to go. Nak lebih mudah, bukak internet di telefon dan taipkan m.opera.com. Brand dan siri telefon will be automatically detected dan software Opera Mini boleh didownload terus. Install. Boleh guna dah. Sebelum guna, ikut step untuk online secara free.

Dan diulangi di sini, online secara free ni ialah hanya untuk pengguna prepaid Hotlink sahaja.